Thursday, March 23, 2006

Tahniah Bro,

Keep it up!

6 cendekiawan negara terima Zamalah Awam Asia

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Pendidikan/20060322091833/Article/


Yayasan Nippon biaya projek penyelidikan antara lapan bulan dan setahun

ENAM cendekiawan awam dalam pelbagai bidang dianugerahkan Zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2006-2007 yang dibiayai Yayasan Nippon untuk menjalankan projek penyelidikan di empat negara.


Daripada jumlah itu, tiga adalah penerima Zamalah API (berumur di bawah 40 tahun), iaitu Ahmad Hezri Adnan, George Sharaad AL Chittarajan Kuttan dan Mohd Naguib Razak.

Tiga lagi menerima Zamalah Kanan API (berumur 40 tahun ke atas), iaitu Iskandar Sharifuddin Mohd Said, Jose Mary Fernandez dan Jyothi Kukathas.

Mereka adalah sebahagian daripada 30 penerima yang terpilih dari lima negara peserta, termasuk Jepun, Indonesia, Filipina dan Thailand, untuk penganugerahan zamalah dengan nilai keseluruhan kira-kira RM7.4 juta itu.

Ahmad Hezri adalah Felo Penyelidik di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan akan menjalankan projek bertajuk `Informing Governance? Sustainability Reporting’.

Beliau akan menjalankan penyelidikan selama lapan bulan, masing-masing empat bulan di Indonesia dan Filipina, dijadualkan bermula 15 Julai ini.

George Sharaad pula ialah Felo Bersekutu juga di UKM dan akan melaksanakan projek bertajuk `Academic Life Worlds, The Social Sciences And Deep Democracy’.

Tempoh projek beliau ialah selama setahun dengan masing-masing enam bulan di Thailand dari Julai sehingga Disember ini, dan Filipina (Januari sehingga Jun 2007).

Pembuat filem, Mohd Naguib, menerima zamalah untuk menjalankan projek penyelidikan bertajuk `Spirituality In Japan’s Material Utopia’ selama setahun di Jepun, mulai 1 September ini.

Sementara Iskandar Sharifuddin pula, juga seorang pembuat filem, akan melaksanakan projek bertajuk `Narrating The Nation: Modern Historical Representations Of Identity’ selama setahun di Indonesia, mulai 1 Julai ini.

Jose Mary adalah Ahli Majlis Eksekutif, Transparency International Malaysia, dan bakal memberi tumpuan terhadap projek bertajuk `From Charity To Social Investments: A Study Of Philanthropy Institutions’.

Bagi tujuan itu, beliau yang berpengalaman luas dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) akan menghabiskan tempoh masing-masing empat bulan di Indonesia dan juga Filipina.

Akhir sekali, Jyothi adalah Pengarah Artistik, Instant Cafe Theatre, dan menggariskan tajuk `The Role Of The Shaman And The Place Of Myth And Ritual In Contemporary Theatre Making’ untuk projek penyelidikannya.

Penyelidikan menarik itu akan membabitkan tempoh selama setahun, iaitu masing-masing enam bulan di Jepun dan Indonesia.

Semua penerima zamalah terbabit diperkenalkan pada majlis orientasi anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) UKM dengan kerjasama Yayasan Nippon di Putrajaya, semalam.

Pengarah Ikmas, Prof Dr Ragayah Mat Zin, dalam ucapannya pada majlis itu berkata, mereka adalah kumpulan penerima Zamalah API yang kelima dari negara ini.

“Setakat ini, seramai 35 rakyat Malaysia sudah dianugerahkan zamalah berkenaan yang dilancarkan pada Julai 2000 di Kuala Lumpur.

“Ikmas adalah antara lima institusi, termasuk empat lagi di luar negara, yang bekerjasama dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Pembabitan Ikmas adalah berdasarkan keprihatinan terhadap keperluan lebih ramai cendekiawan awam Asia bagi melihat pelbagai isu dalam rantau ini,” katanya.

Secara umum, tema bagi penganugerahan Zamalah API 2006-2007 ialah identiti yang berubah-ubah dalam konteks sosial, sejarah dan kebudayaan; refleksi mengenai keadaan manusia dan usaha mencari keadilan sosial; serta struktur globalisasi masa kini dan kemungkinan alternatif sedia ada.
 

0 Comments:

Post a Comment